
Menteri Mohamad Sabu berkata, projek itu melibatkan Parlimen Batang Lupar, Kota Samarahan, Serian dan Igan dengan peruntukan RM223 juta bagi 2026.
Beliau berkata, langkah itu antara strategi utama kementerian untuk memastikan Malaysia mampu berdikari jika berlaku sekatan import makanan, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import barangan asas.
“Bagi menangani risiko serta meningkatkan kemandirian sumber makanan, pelbagai langkah dilaksanakan termasuk menambah baik mekanisme pelaksanaan industri padi dan beras, memperkasakan industri lembu pedaging, serta mempertingkatkan industri tenusu dan akuakultur,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Mohamad menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu sama ada peruntukan kepada kementerian pada 2026 benar-benar membantu memperluas jelapang padi yang dikenal pasti seperti di Sarawak.
Menurut Mohamad, kadar sara diri (SSR) bagi beras dan ayam pada 2023 masing-masing 56.2% dan 90.2%, manakala peningkatan positif dicatatkan bagi daging dan susu segar, namun kebergantungan terhadap import makanan masih signifikan, khususnya bagi beras, ayam dan sayur-sayuran terpilih.
Beliau berkata, setakat 21 Okt lalu stok fizikal beras negara berjumlah 1.19 juta tan metrik mencukupi bagi menampung keperluan untuk tempoh enam bulan, manakala unjuran pengeluaran ayam kekal stabil dengan 70.65 juta ekor.
Selain itu, Mohamad berkata kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dengan menggabungkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi memperkukuh sekuriti makanan negara.
Katanya, inisiatif itu turut melibatkan kerjasama kerajaan negeri bagi mengenal pasti kawasan baharu untuk pembangunan jelapang padi, selain memastikan isu peruntukan tanah tidak menjejaskan pelaksanaan projek berkenaan.
“Dua timbalan perdana menteri turut terlibat secara langsung dalam inisiatif sekuriti makanan ini bagi memastikan dasar dan tindakan yang dirancang dapat diselaraskan pada peringkat pusat dan negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan untuk membawa pesawah berpengalaman dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak bagi membantu operasi jelapang baharu belum diputuskan kerana tenaga kerja tempatan di dua negeri berkenaan ketika ini mampu mengendalikan pengurusan sawah baharu yang dibangunkan.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) tentang industri udang tempatan, Mohamad berkata sektor akuakultur berkembang dengan baik dan menyumbang kepada peningkatan SSR perikanan negara.