Lelaki ugut baling mercun kepada PM direman

Lelaki ugut baling mercun kepada PM direman

Suspek berusia 24 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata suspek ditahan malam semalam susulan kenyataan mahu membaling mercun pada perdana menteri.
KOTA BHARU:
Seorang lelaki berumur 24 tahun yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata penahanan reman itu dilakukan susulan pihaknya telah mengesan satu kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Mat Sekilau/Membalak @apanakdikato.

Katanya, menerusi kenyataan berkenaan ia memaparkan tangkap layar individu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan “Boleh Pasang nanti bang Non Mai klate, Kasi ajar sikit” untuk membaling mercun bom.

“Kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada perdana menteri. Hasil pemerhatian mendapati sumber asal hantaran tersebut telah dimuat naik oleh suspek di akaun Tiktok @najibnafi99, namun mengikut semakan video tersebut telah dipadam.

“Semalam, lebih kurang pukul 10.30 malam, tangkapan telah dibuat ke atas suspek di pekarangan Balai Polis Binjai untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.