7 penguat kuasa di terminal feri direman terlibat ‘counter setting’

7 penguat kuasa di terminal feri direman terlibat ‘counter setting’

Mereka antara 12 suspek disyaki terlibat aktiviti itu di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka.

Semua 12 suspek termasuk tujuh pegawai penguat kuasa dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
PETALING JAYA:
Seramai 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa yang berkhidmat di Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar/Masuk Laut di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka ditahan reman kerana disyaki terlibat rasuah.

Sumber berkata, semua suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki terlibat aktiviti rasuah membabitkan sindiket ‘counter setting’ untuk memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.

Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman enam hari sehingga 29 Sept ini manakala 10 suspek lagi direman lima hari sehingga 28 Sept selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.

Kata sumber, suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 50-an itu ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, semua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner yang turut ditahan dalam operasi ini.

“Mereka dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi counter setting di pintu masuk laut dari 2024 hingga awal 2025,” katanya.

Susulan tangkapan, SPRM merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing IDR71,000,000, kereta Toyota Vellfire bernilai kira-kira RM115,000 serta motosikal jenis Italjet Dragster bernilai kira-kira RM30,000.

Katanya, SPRM juga membuat permohonan bagi membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu melibatkan nilai RM1.2 juta.

Semalam, SPRM Johor dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM menjalankan operasi di Johor dan Pulau Pinang menerusi Op Setting.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.