Ugutan bom dalam pesawat di Tawau, 2 pelancong China direman

Ugutan bom dalam pesawat di Tawau, 2 pelancong China direman

Suspek bertindak demikian kerana tak puas hati berkait tempat duduk.

Suspek menghantar e-mel ke ibu pejabat syarikat penerbangan di Kuala Lumpur dengan mendakwa ada bom dalam pesawat dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kota Kinabalu.
PETALING JAYA:
Akibat tidak puas hati isu pertukaran tempat duduk, dua pelancong China menghantar e-mel ugutan mendakwa ada bom dalam pesawat sebuah syarikat penerbangan.

Suspek wanita berusia 28 tahun dan lelaki, 29, dikatakan terlebih dahulu menghubungi ejen pelancongan untuk menukar tempat duduk penerbangan, namun tidak mendapat maklum balas.

Mereka kemudian menghantar e-mel ke ibu pejabat syarikat penerbangan di Kuala Lumpur dengan mendakwa terdapat bom dalam pesawat dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kota Kinabalu, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada kakitangan syarikat penerbangan 3 petang, semalam.

“Susulan laporan itu, polis menahan pasangan terbabit sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek hingga 27 Sept dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan, pasangan pelancong terbabit baru bercuti di Semporna dan dijadualkan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.