Rebut jadi calon PM – mengapa dan kenapa?

Rebut jadi calon PM – mengapa dan kenapa?

Pengundi berhak tahu calon perdana menteri sebelum mengundi. Sebab mereka nak buat pilihan, nak pilih gabungan yang terbaik.

Mohsin Abdullah

Kata Dr Mahathir Mohamad calon tidak akan jadi perdana menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi (dalam PRU). Betul tu. Parlimen Malaysia kita tahu ada 222 kerusi. Bilangan kerusi 112 diperlukan untuk dapat majoriti. Biasanya dipanggil ‘simple majority’.

Kata Mahathir lagi calon tidak akan jadi perdana menteri jika partinya tidak menang 112 kerusi. Betul. Beliau sekadar menyatakan apa yang nyata, ‘stating the obvious’.

Bagaimanapun, beliau teruskan dengan berkata parti lain pun letak calon melawan partinya. (Maksudnya parti si calon PM tadi). Lalu kata Mahathir: “Tidak mungkin partinya menang 112 kerusi. Tidak mungkin calon perdana menteri jadi perdana menteri.”

Adakah Mahathir bercakap secara umum atau secara spesifik rujuk parti parti yang sedang berebut mahu orang mereka jadi calon PM? Adakah apabila berkata ‘tidak mungkin partinya menang 112 kerusi’ dan ‘tidak mungkin calon perdana menteri jadi perdana menteri’ beliau maksudkan parti yang sekarang sedang bertelagah tidak akan menang PRU?

Seterusnya, Mahathir berkata ‘tak usahlah berebut-rebut nak jadi perdana menteri. Sebaliknya berusahalah untuk Melayu bersatu’. Tentunya masing-masing ada interpretasi apa yang dimaksudkan Mahathir. Tapi itu bukan konteks penulisan ini.

Yang mendapat perhatian saya ialah pertanyaan Mahathir pada awal coretannya ‘saya kurang faham kenapa ramai berebut-rebut untuk dinamakan calon perdana menteri’.

Mungkin itu sekadar kata-kata untuk memulakan mesej yang disampaikan seperti ditulis pada perenggan awal artikel ini. Saya rasa sebagai politikus berpengalaman luas Mahathir tahu mengapa perbuatan terjadi. Namun, tetap mendakwa beliau ‘tidak faham’. Pasti ada sebabnya. Seperti dikata tadi, itu semua bukan dalam konteks artikel ini ditulis.

Apa pun bagi saya, parti menamakan calonnya untuk jawatan perdana menteri memang penting. Saya ulangi catatan dalam artikel saya yang disiar FMT 15 Sept lalu. Begini:

“Apabila parti politik menamakan calon perdana menterinya bagi pilihan raya ia membuktikan atau tunjuk kepada khalayak, parti itu sepakat dalam mencapai keputusan. Ia united”.

Lazimnya, parti buat keputusan awal untuk menunjukkan kepada rakyat inilah orangnya yang akan mengetuai pentadbiran negara. Maka dipaparkan ‘poster boy’. Jadi, rakyat tahu ‘what to expect’. Itu sebab majoriti rakyat mahu tahu siapa calon PM parti yang bertanding. ‘It’s a big deal’ untuk rakyat.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Yusri Ibrahim, menggunakan analogi jual beli ‘online’. Amat menarik. Mengundi, kata beliau umpama beli barang online, bukan macam tunggu hadiah hari jadi.

Kata Yusri kalau hadiah hari jadi, hadiah kahwin atau apa-apa hadiah tak kisah sangat. Kita tak membayar dan tak tanggung risiko apa-apa kerugian untuk hadiah. Bahkan elemen kejutan memang sinonim dan sesuai untuk hadiah.

“Bila hadiah sampai kita buka. Jika hadiah itu kena dengan kehendak…wow, syukur bahkan melompat-lompat,” katanya. Tetapi kata Yusri ‘kalau kurang kena dengan selera ‘it’s ok, biarlah…nothing to lose’.

Berbeza dengan pembelian ‘online’. “Kita berhak tahu bagaimana kualiti barang yang kita ‘order’. Supaya barang yang sampai nanti sama seperti kita nak, yang kita hasratkan,” kata Yusri. Memang benar.

Katanya lagi, mana ada orang ‘order’ barang yang dia tak tahu. Dengan harapan bila barang sampai tahulah nanti. “Kalau ada pun (orang seperti itu), orang itu barangkali orang pelik.”

Begitu jugalah politik, demokrasi dan pilihan raya kata Yusri. Pengundi berhak tahu calon perdana menteri sebelum mengundi. Sebab mereka nak buat pilihan, nak pilih gabungan yang terbaik. Sama seperti pembeli ‘online’ perlu tahu sesuatu barang sebelum ‘order’.

Kata Yusri: “Peniaga yang baik akan beri maklumat yang cukup jelas tentang produk jualan mereka supaya pembeli tertarik dan buat pilihan. Tiada peniaga yang kata belilah dulu, bila barang sampai nanti awak tahulah barang apa, bagaimana kualiti dan sebagainya.”

Tanya Yusri peniaga jenis apa macam tu? Kata saya peniaga pelik barangkali atau peniaga tak betul kot?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.