
Ketua Pengarahnya, Ismail Yusop berkata rakyat memahami tujuan inisiatif kerajaan seperti Jualan Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), tetapi tidak semua memahami konsep Malaysia Madani.
“Sampai hari ni dah dua tahun lebih pelaksanaan Malaysia Madani, orang masih lagi tanya Malaysia Madani tu apa. Orang tahu jualan Rahmah dan SARA tapi orang tak nampak di belakang semua inisiatif ini adalah satu kerangka pemikiran besar masa depan negara.
“Bagi saya penting beri penerangan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Program Nadi Aspirasi Nasional bersama Anak Muda (Nanba) di Taman Sentosa, di sini.
Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi oleh J-Kom dalam usahanya memberi penerangan berkaitan inisiatif kerajaan.
Mengulas lanjut Ismail berkata Malaysia Madani bukan sekadar slogan, sebaliknya gagasan pemikiran besar tentang masa depan negara bangsa yang dibawa perdana menteri.
“Mesej dan naratif inilah yang bagi saya penting turun cakap kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu Ismail yang baharu sembilan bulan menerajui J-Kom berkata jabatan itu mengambil pendekatan baharu dengan turun padang bertemu rakyat bagi menerangkan dasar kerajaan dan tidak lagi menjawab sebarang isu dibawa pembangkang secara khusus.
“Kalau menjawab (pembangkang) jadi kita akan jadi defensive. Memang mereka (pembangkang) nak kita jawab tetapi itu buang masa.
“Saya lebih suka pendekatan berjumpa dengan rakyat. Jadi kita boleh menyampaikan isu berkaitan kerajaan,” katanya.
Menurutnya lagi, J-Kom kini berfungsi sebagai suara kerajaan secara menyeluruh, berbeza dengan pendekatan terdahulu yang sering dikaitkan dengan parti politik tertentu.
“Hari ini, tak ada siapa yang dominan. Jadi, J-Kom mewakili suara kerajaan bagi mana parti-parti dalam kerajaan,” katanya.