Rumah kampung hangus, 20 anak menantu ‘tumpang ihsan’ jiran beraya

Rumah kampung hangus, 20 anak menantu ‘tumpang ihsan’ jiran beraya

Sebahagian sahaja pakaian raya mereka sempat diselamatkan dalam kejadian di Kampung Padang Setar, Hulu Terengganu, semalam.

Bomba berkata, rumah milik Md Jamhuri Sanusi, 70, dan isteri, Zabedah Mohd, 68, musnah 75%.
PETALING JAYA:
Suami isteri bersama hampir 20 ahli keluarganya terpaksa “menumpang ihsan” meraikan hari raya esok di rumah kosong jiran susulan kediaman pasangan itu musnah dalam kejadian kebakaran, di Kampung Padang Setar, Hulu Terengganu, semalam.

Md Jamhuri Sanusi, 70, dan isteri, Zabedah Mohd, 68, kini tinggal sehelai sepinggang selepas api dikatakan bermula dari sebuah bilik tidur, pada 4.10 petang.

Menurut Kosmo, hanya sebahagian pakaian raya anak menantu mereka yang pulang berjaya sempat diselamatkan.

Menantu, Muhaiza Mohamad, 43, berkata, sewaktu kejadian dia sedang tidur di beranda rumah, sebelum dikejutkan seorang ahli keluarga yang terhidu bau hangit dari sebuah bilik tidur.

“Waktu itu, api telah pun marak dalam bilik berkenaan dan dalam kelam-kabut, saya sempat selamatkan sebahagian pakaian dan dokumen sahaja. Tidak sampai setengah jam, rumah mertua musnah terbakar.

“Walaupun sedih namun tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga kami terselamat,” katanya memetik laporan itu.

Muhaiza berkata, dia dan isteri, Suria Arfah, 39, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga 13 tahun baru tiba ke kampung dari Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, sebahagian besar daripada tujuh anak mentuanya sudah pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri, esok.

“Kami sekeluarga akan meraikan Aidilfitri di rumah kosong jiran yang terletak bersebelahan dan selepas ini saya berhasrat untuk membawa kedua ibu bapa mentua pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba Kuala Berang, Zuradi Mohd Yusof, berkata rumah keluarga mangsa 75% musnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.