Kes bunuh Kuantan: Mayat budak dibedah siasat pada hari lahir kedua

Kes bunuh Kuantan: Mayat budak dibedah siasat pada hari lahir kedua

Nur Sumayyah Humairah dilahirkan pada 18 Feb 2024 antara mangsa dipercayai dibunuh bapa kandung.

mangsa bunuh kuantan
Dalam kejadian kira-kira 7 pagi semalam, mayat lima sekeluarga ditemukan di sebuah rumah teres setingkat di Taman Cerating Damai, Kuantan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jasad kanak-kanak perempuan mangsa pembunuhan di Taman Cerating Damai, Kuantan, semalam, dibedah siasat pagi ini pada hari ulang tahun kedua kelahirannya.

Nur Sumayyah Humairah, dilahirkan pada 18 Feb 2024 antara mangsa dipercayai dibunuh bapa kandung.

Proses bedah siasat tiga lagi mayat mangsa pembunuhan termasuk kakaknya, Nur Saffiyah Humairah, 5, dan nenek mereka berusia 55 tahun, bermula 8.45 pagi di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Proses bedah siasat dijangka selesai selepas 1 tengah hari dan semua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cerating, lapor Harian Metro.

Mayat bapa kanak-kanak itu dibedah siasat 4 petang semalam manakala jasad ibu mereka dibedah siasat 8.30 malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi semalam, mayat lima sekeluarga ditemukan di sebuah rumah teres setingkat.

Selain jasad dua kanak-kanak dan nenek berkenaan, turut ditemui mayat bapa mereka berusia 32 tahun dan ibu berumur 28 tahun.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata dalam kejadian itu suspek dipercayai membunuh isteri, dua anak serta ibunya menggunakan pisau.

Katanya, suspek kemudian bertindak membunuh diri di sisi mayat isteri serta dua anaknya dalam sebuah bilik.

Difahamkan, suspek sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Klang, Selangor dan pulang ke Kuantan serta bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak awal bulan ini.

Motif kejadian dipercayai kerana masalah kewangan dan difahamkan suspek tidak mempunyai rekod rawatan kesihatan mental.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.