Sambutan Tahun Baharu Cina serlah perpaduan rakyat, kata PM

Sambutan Tahun Baharu Cina serlah perpaduan rakyat, kata PM

Anwar Ibrahim berkata Tahun Kuda melambangkan kekuatan dan tenaga yang diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama tetamu kehormat menggaul Yee Sang pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan bersama pelbagai kaum menyerlahkan semangat perpaduan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, kehadirannya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA hari ini untuk bersama meraikan perayaan itu yang disifatkan sebagai sambutan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya hanya datang untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh MCA dan ini bukan sahaja satu kumpulan, tetapi sambutan semua rakyat.

“Saya lihat sambutan itu sangat baik dan menunjukkan perpaduan kita,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Anwar berkata, Tahun Kuda yang disambut tahun ini melambangkan kekuatan dan tenaga yang diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara.

“Saya ingin ucapkan Tahun Kuda ini tahun kuda berapi yang memacu pertumbuhan yang lebih hebat dan segar. Kuda simbolnya kencang, kekuatan tenaga yang hebat dan menunjukkan mudah-mudahan prestasi ekonomi dan pembangunan rakyat Malaysia akan jauh lebih baik tahun ini,“ katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan lain antaranya bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, bekas presiden MCA Tan Koon Swan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Pada majlis itu, Anwar bersama tetamu kehormat menggaul Yee Sang iaitu hidangan tradisional yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Mengikut kalendar lunar, tahun ini merupakan Tahun Kuda yang dalam kepercayaan masyarakat Cina melambangkan semangat, ketekunan dan kemajuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.