
Kenderaan membawa barisan kepimpinan tertinggi mula dilihat memasuki kawasan kediaman kira-kira 9 pagi bagi menghadiri mesyuarat dijangka membincangkan hala tuju Bersatu serta perkembangan terkini susulan krisis kepimpinan.
Setiausaha Agung Azmin Ali antara yang terawal tiba bagi menyertai perbincangan tertutup bersama pimpinan lain.
Antara pimpinan disenaraikan menghadiri mesyuarat termasuk barisan naib presiden, ketua sayap, ahli MPT serta ketua negeri selain beberapa pemimpin lantikan.
Mesyuarat itu dilihat penting bagi menentukan langkah seterusnya kepimpinan parti susulan perkembangan terbaru yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan ahli dan penyokong.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai agenda penuh atau keputusan bakal dicapai dalam mesyuarat.
Media turut berkumpul seawal 9 pagi di pekarangan rumah Muhyiddin.
Semalam, Bersatu memecat Hamzah, yang juga ketua pembangkang di tengah-tengah kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.
Lembaga disiplin menyatakan Hamzah melanggar peruntukan perlembagaan parti yang memerlukan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika, dan tata kelakuan parti.
Selepas Hamzah, Bersatu turut memecat 16 pemimpin termasuk tiga Ahli Parlimen iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, antara 16 pemimpin Bersatu yang dilapor menyatakan sokongan kepada gesaan Naib Presiden Ronald Kiandee supaya Muhyiddin meletak jawatan presiden.
Beliau dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dipecat pada Oktober dan Januari lalu.