
Peguam Hasbie, Faiz Fadzil berkata ia susulan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu hasil representasi dihantar pihaknya pada 17 Mac lalu.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa Amanah menyifatkan keputusan itu permulaan positif kerajaan perpaduan menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun serta menyuarakan pandangan mengikut Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Perhimpunan aman itu diadakan pada 1 Julai 2022 oleh Amanah bagi memperjuangkan isu kos sara hidup.
“Dengan keputusan ini, perjuangan kerajaan madani pimpinan Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat dilihat benar-benar telus kerana perhimpunan aman dianggap tidak lagi menyalahi undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya menurut Berita Harian.
Pada 18 Ogos lalu, Hasbie bersama Ketua Pemuda PKR Bahagian Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya dan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa, Mohamad Aliff Naif Mohd Fizam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka gagal memberitahu polis Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan itu di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang dan hadapan Kompleks Sogo pada 2 dan 3.30 petang pada 1, 9 serta 23 Julai tahun lalu.
Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama dan mereka boleh didenda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.