Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

Madani Sahari pernah mengetuai Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bawah Miti.

Madani Sahari didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah. (Gambar MARii)
SHAH ALAM:
Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta dua tahun lalu.

Madani Sahari, yang pernah mengetuai Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), dituduh menerima rasuah itu daripada Khow Chuen Wah untuk membantu Syarikat Aspire Knowledge Sdn Bhd mendapatkan surat anugerah projek bernilai RM12 juta.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Seksyen 15 di sini pada 8 Julai 2021.

MARii ialah agensi bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Madani didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan ikat jamin RM300,000 dan seorang penjamin, selain mengarahkan Madani menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Jun ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan memfailkan lebih banyak pertuduhan terhadap Madani di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Alor Setar kemudian.

Madani diwakili peguam Rahmat Hazlan, Wan Aizuddin Wan Mohamed dan Rahmat Abu Bakar.

SPRM dilaporkan menahan 10 individu tahun lalu bagi membantu siasatan ke atas satu projek di bawah MARii.

Madani merupakan CEO MARii sejak April 2010 dan jawatan itu diambil alih Azrul Reza Aziz pada 10 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.