Guru agama warga Indonesia amang seksual murid dipenjara 6 tahun

Guru agama warga Indonesia amang seksual murid dipenjara 6 tahun

Tertuduh, Kumpul turut dikenakan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

kompleks mahkamah kuala lumpur
Guru agama warga Indonesia, Kumpul, 40, dihukum penjara enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, tahun lepas.
KUALA LUMPUR:
Seorang guru agama warga Indonesia hari ini dihukum penjara enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, tahun lepas.

Hakim Mohd Kafli Che Ali memerintahkan Kumpul, 40, menjalani hukuman itu selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan terdahulu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa, yang ketika kejadian berusia 11 tahun satu bulan, di bilik guru sebuah sekolah rendah agama di Wangsa Maju di sini pada 1 pagi dalam bulan Februari 2025 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan minimum dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh, mengambil kira mangsa adalah seorang kanak-kanak.

“Tertuduh adalah seorang guru agama yang diamanahkan untuk menjaga serta melindungi kanak-kanak berkenaan dan dia seharusnya tidak mengambil kesempatan… tertuduh sebelum ini mempunyai dua rekod jenayah atas kesalahan sama.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman di mahkamah ini berjalan berasingan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara yang dijatuhkan sebelum ini,” katanya.

Kumpul, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga dan empat anak lelaki serta memohon maaf atas perbuatannya.

Pada 5 Jan lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berlainan.

Mahkamah berkenaan memerintahkan Kumpul menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 25 Dis 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.