
G Jayakumar, 64, yang ketika kejadian adalah pensyarah kanan, didakwa memperdaya naib canselor sebuah kolej universiti untuk melantik pensyarah Universiti Perdana Kuala Lumpur sebagai ketua perunding program kurikulum dan pembangunan akademik.
Ia bagi membangunkan modul program terapi pekerjaan di kolej universiti itu sedangkan tertuduh mengetahui pelantikan tersebut bercanggah dengan kontrak perkhidmatan serta peraturan universiti terbabit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kolej universiti berkenaan pada 3 Mei 2021 dan tuduhan dibuat engikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka.
Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili tertuduh tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Jayakumar diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kes.