
Tertuduh, Harizzal Hussain, 60, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud pada prosiding di Hospital Putrajaya hari ini, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia ketika bertugas sebagai penolong penguasa imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa menerima wang berjumlah RM30,850 sejak 2022 hingga 2024 melalui pindahan wang secara dalam talian ke akaun miliknya dan isteri.
Transaksi itu dipercayai diterima daripada seorang individu warga asing yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh tanpa sebarang balasan.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia yang menetap di Selangor, Kuala Lumpur atau Negeri Sembilan.
Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport dan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan bermula Februari ini sehingga perbicaraan selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 12 Mac ini.