
Hafizuddeain Jantan, 57, dan Salwani Anuar @ Kamaruddin, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rosli Ahmad di mahkamah berasingan.
Hafizuddeain didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM2,122,400 yang dikreditkan ke dalam akaun banknya dalam empat transaksi berasingan masing-masing berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 2 Feb 2024 hingga 7 Nov 2025 di dua buah bank di Kuala Lumpur.
Salwani pula didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM77,000 yang dikreditkan ke dalam akaun bank CIMB milik Wany Venture, di mana beliau bekerja sebagai pengurus syarikat.
Dana tersebut didakwa diterima dalam empat transaksi berasingan berjumlah RM50,000, RM7,000, RM10,000 dan RM10,000 antara 24 Nov 2024 hingga 25 Nov 2025. Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bank di Damansara Heights.
Pertuduhan terhadap pasangan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai hasil terbabit atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Hafizuddeain diwakili peguam Aizul Rohan Anyar dan Kausar Khairi, dan Fahmi Moin mewakili Salwani.
Terdahulu, hakim menetapkan Hafizuddeain diikat jamin RM300,000, namun Aizul berkata jumlah itu terlalu tinggi dan merayu dikurangkan kepada RM100,000.
Aizul beritahu mahkamah bahawa akaun Hafizuddeain telah dibekukan dan beliau kini memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM15,000 sebagai pesara, selain merayu mahkamah mengambil kira tempoh perkhidmatan tenteranya selama 40 tahun, termasuk penugasan di Bosnia Herzegovina.
Azura kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac bagi penyerahan dokumen.
Bagi Salwani pula, Rosli membenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin selepas peguamnya membantah cadangan jaminan RM30,000 hingga RM50,000, dengan alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri walaupun pertuduhan yang dihadapi adalah serius.
Fahmi memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memperoleh pendapatan tidak tetap melalui perniagaan dalam talian selain perlu menanggung ibu bapanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Salwani baru berkahwin dengan Hafizuddeain pada Ogos tahun lalu dan beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan.
Hafizuddeain dan Salwani juga diperintahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali sebulan serta menyerahkan pasport masing-masing hingga kes mereka dilupuskan.