Wanita maut, 2 anak hilang bot karam di Sabah

Wanita maut, 2 anak hilang bot karam di Sabah

Mayat Lerina Rody, 26, ditemui kira-kira 3 petang semalam, manakala dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun masih hilang.

Pasukan bomba bersama anjing pengesan menjalankan operasi SAR di lokasi bot karam di Sungai Penawan. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang wanita ditemui lemas, manakala tiga yang lain, termasuk dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sin-Singon, Sapulut, Sabah kelmarin.

Mayat Lerina Rody, 26, ditemui penduduk kampung kira-kira 3 petang Selasa lalu.

Suami Lerina, iaitu Joffrinos Palandok, 36, dan seorang lagi anak mereka, Jilan yang berusia lima tahun dilaporkan selamat dalam kejadian itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sook serta Keningau, termasuk anjing pengesan (K9) yang dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nabawan dihantar ke tempat kejadian selepas laporan diterima pada 1.14 tengah hari.

“Menurut maklumat awal daripada pemanggil, terdapat lima mangsa dalam kejadian ini, dengan dua daripadanya, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berjaya menyelamatkan diri.

“Mangsa yang belum ditemui ialah dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun dikenali sebagai Joffizan dan Carbrineleyvonne,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.