Kes murid lemas ikut program keyakinan air, persatuan tuntut lantik profesional siasat

Kes murid lemas ikut program keyakinan air, persatuan tuntut lantik profesional siasat

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) laporan penuh perlu dikemukakan kepada umum.

lemas
Selain PIBGN, Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE) turut persoal sama ada jurulatih terlibat terlatih untuk mengajar dan memberi rawatan cemas. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan dituntut melantik pihak profesional dan bebas menyiasat insiden kematian seorang murid lemas ketika mengikuti program sokongan keyakinan air.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan berharap pihak terlibat dalam siasatan dapat mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu.

“Kita rasa sedih perkara ini berlaku. Diharap perkara ini tidak akan berlaku langsung pada masa akan datang.

“Pihak berwajib perlu menyiasat adakah pihak sekolah terbabit mengikut garis panduan telah ditetapkan,” katanya kepada FMT.

Pada Jumaat, seorang murid lelaki 11 tahun dari sekolah kebangsaan di ibu negara meninggal dunia selepas dua hari mendapat rawatan ketika menjalani program sokongan keyakinan air di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) itu pada hari sama kejadian berlaku.

Dalam pada itu, Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE) menuntut kerajaan memperketatkan lagi garis panduan bagi aktiviti renang murid.

Pengerusi Noor Azimah Abdul, berkata ia bagi mengelakkan kes sama berulang.

“Dalam apa-apa aktiviti (air) melibatkan murid sekolah, keselamatan perlu diutamakan dan diteliti.

“Kami tidaklah dapat memberi komentar yang menyeluruh kerana maklumat yang diketahui ini hanyalah pada peringkat awal. Amat dukacita dengan berita murid mati lemas, yang ironinya untuk belajar menghalang dari lemas,” katanya.

Mengulas lanjut, Azimah berkata terdapat persoalan perlu dijawab KPM dan antaranya adakah jurulatih terlibat terlatih untuk mengajar dan memberi rawatan cemas.

Beliau juga mempersoalkan sama ada cukup alat keselamatan seperti pelampung, rawatan kecemasan, dan sumber manusia seperti pengawal bertugas dalam program tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.