
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San, berkata rakaman video kejadian membabitkan lelaki yang memandu sebuah kereta Proton Saga berwarna merah itu turut tular sejak semalam, sebelum polis menjalankan siasatan menahan suspek berusia 30-an tersebut.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan itu membabitkan pemandu kereta dan pemandu lori tersebut dipercayai berlaku di Jalan Permatang Janggus menghala ke Permatang Pauh semalam namun masa kejadian tidak dapat dipastikan.
“Dalam video tular berdurasi dua minit 50 saat itu, sebuah kereta dan lori masing-masing berhimpit-himpit antara satu sama lain dan akhirnya kedua-dua pemandu berkenaan berhenti sebelum berlaku pergaduhan.
“Pemandu kereta dilihat mengeluarkan satu objek dari bahagian belakang keretanya sebelum merosakkan nombor plat hadapan lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan
Katanya, pemandu kereta itu yang merupakan warga tempatan kini direman dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain IPD Barat Daya, dalam kenyataan, memaklumkan pihaknya menyita 18 motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengeluarkan 131 saman kerana pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di daerah itu, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, operasi dijalankan di sekitar kawasan tumpuan mat rempit sering melakukan aksi berbahaya atau berlumba haram seperti di Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu, Jalan Sultan Azlan Shah dan Persiaran Bayan Indah.