Lelaki ditahan ugut bakar kereta, cederakan bekas teman wanita

Lelaki ditahan ugut bakar kereta, cederakan bekas teman wanita

Polis berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai 19 rekod jenayah.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya di Kuala Lumpur, kelmarin.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan kerana mengugut mahu membakar kereta dan mencederakan bekas teman wanitanya yang enggan meneruskan hubungan dengannya.

Mangsa berusia 27 tahun itu dihubungi suspek berusia 42 tahun yang mengugut mahu merosakkan kenderaan serta mencederakannya pada 8.30 malam Rabu lalu.

Wanita itu yang bimbang dengan keselamatan diri, membuat laporan di IPD Pandan Indah untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya menahan suspek di Kuala Lumpur, kelmarin.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai 19 rekod jenayah dan tiga daripadanya masih dikehendaki.

“Ujian saringan awal air kencing juga positif dadah jenis THC dan AMP,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.