Belon dirampas meletup, 2 penguat kuasa MBPP cedera

Belon dirampas meletup, 2 penguat kuasa MBPP cedera

Belon berisi gas mudah terbakar itu dirampas daripada peniaga tanpa lesen ketika sambutan Thaipusam semalam.

Tangkap layar video menunjukkan trak pikap terbakar susulan letupan di depan pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union malam tadi.
GEORGE TOWN:
Dua anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) cedera semalam, selepas belon berisi gas mudah terbakar yang dirampas daripada peniaga ketika sambutan Thaipusam meletup.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), RSN Rayer, berkata letupan berlaku ketika anggota penguat kuasa itu cuba melupuskan belon berkenaan di depan pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union.

Beliau berkata, gas yang digunakan untuk mengisi belon itu belum dikenal pasti.

Menurutnya, seorang daripada anggota penguat kuasa itu, Amirul Ashraf Rosidi masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dengan kesan melecur ringan, manakala seorang lagi dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.

“Kami bersyukur belon itu tidak meletup dalam kalangan orang ramai semasa Thaipusam, jika tidak akibatnya tidak dapat dibayangkan,” katanya kepada FMT.

Rayer bersama Datuk Bandar MBPP A Rajendran, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Timbalan Pengerusi PHEB Dr RA Lingeshwaran dan pegawai MBPP melawat Amirul di hospital.

Lingeshwaran menyumbangkan RM1,000 kepada Amirul bagi pihak PHEB, manakala Ramkarpal turut memberikan sumbangan peribadi.

MBPP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah memantau Jalan Macalister, Jalan Utama serta Jalan Gottlieb sejak Sabtu lalu dan mendapati terdapat peniaga tanpa lesen menjual belon.

“MBPP telah mengarahkan peniaga terbabit menghentikan aktiviti mereka dan meninggalkan kawasan itu. Tetapi, pemerhatian pada 31 Jan dan 1 Feb lalu mendapati sebahagian daripada mereka tidak mematuhi arahan berkenaan.

“Anggota penguat kuasa MBPP telah merampas belon dan peralatan daripada peniaga di Jalan Gottlieb petang semalam dan membawanya ke pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union untuk dilupuskan.”

MBPP menjelaskan letupan berlaku ketika anggotanya cuba memecahkan belon itu menyebabkan mereka cedera dan bahagian belakang sebuah kenderaannya terbakar.

Ia turut memaklumkan sudah membuat laporan kepada polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.