Tak dapat kawal pelanggan, butik tawar baju raya RM1 henti operasi

Tak dapat kawal pelanggan, butik tawar baju raya RM1 henti operasi

Butik pakaian itu terpaksa menghentikan operasinya kurang 2 jam selepas dibuka, kata polis.

Tular di media sosial video menunjukkan orang ramai membanjiri sebuah butik pakaian untuk mendapatkan baju raya pada harga promosi sehingga berlaku tolak-menolak dan kekecohan.
PETALING JAYA:
Sebuah butik pakaian yang menawarkan harga baju raya serendah RM1 membuat keputusan untuk menghentikan operasi ekoran tidak dapat mengawal bilangan pelanggan yang hadir.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan sekitar 10.30 pagi tentang kekecohan yang tercetus apabila butik pakaian itu mula beroperasi.

Difahamkan butik tersebut membuat promosi di mana 100 pelanggan pertama akan dapat membeli pakaian dengan harga RM1, manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.

“Dianggarkan seramai lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi tersebut, sehingga berlaku tolak-menolak dan kekecohan,” kata Mohd Iqbal dalam kenyataan.

“Sekitar 11.45 pagi, atas faktor keselamatan, pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi kerana tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir.”

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian ini dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi yang dibuat pada musim perayaan ini.

Pihak peniaga pula hendaklah sentiasa peka dan mengelak daripada membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai agar kejadian seperti ini tidak berulang.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang menunjukkan orang ramai berpusu-pusu di hadapan sebuah butik, menunggu pintunya dibuka untuk mendapatkan baju raya dengan harga murah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.