
Perbuatan warga tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai menyewa rumah itu terbongkar susulan aduan penduduk sebuah kondominium berhubung bau busuk di kediaman berkenaan.
Penemuan pada 11 Mac itu didedahkan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) di Facebooknya hari ini yang memaklumkan laporan polis sudah dibuat.
Menurut kenyataan MAA, kegiatan individu yang membunuh dan mengerat haiwan terbabit terbongkar selepas pemilik rumah membuat pemeriksaan.
“Difahamkan, pemilik rumah berkenaan yang memeriksa rumahnya terkejut apabila menemui berpuluh rangka, organ dan bangkai kucing di dalam kediamannya.
“Malah, terdapat anggota badan haiwan yang dikerat-kerat, selain daging dikisar lumat di dalam rumah disewanya itu. Terdapat sebuah bilik di kediaman itu turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang sudah lama reput.”
Menurutnya, pemilik rumah membuat laporan polis berhubung penemuan itu pada 13 Mac lalu, tetapi ia mendakwa polis memberi alasan tiada kuasa untuk menjalankan siasatan dan penguatkuasaan.
“Aduan akhirnya sampai kepada MAA sebelum dipanjangkan kepada ketua seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh.
“Jika benar berlaku unsur kezaliman, MAA menuntut pelaku diheret ke mahkamah dan didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.”