Lelaki, wanita Filipina ditahan bawa 34kg ganja dalam kereta

Lelaki, wanita Filipina ditahan bawa 34kg ganja dalam kereta

Mereka yang menaiki Perodua Axia di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dikesan berada dalam mencurigakan sebelum ditahan petang kelmarin.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, menurut polis.
GUA MUSANG:
Seorang wanita warga Filipina dan seorang lelaki tempatan ditahan kerana memiliki 34 kilogram (kg) ketulan ganja mampat bernilai RM85,000 di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini kelmarin.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata kedua-dua suspek yang menaiki kenderaan jenis Perodua Axia didapati berada dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada 6 petang.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 34 ketulan ganja mampat dalam tiga kotak di tempat duduk belakang kenderaan terbabit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM85,000.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berusia 23 tahun itu positif dadah jenis metamfetamin dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah manakala wanita berusia 46 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang media di IPD Gua Musang semalam.

Beliau juga berkata ketulan ganja itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang melalui Kelantan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.