
Timbalan Menterinya, Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan komited menambah baik mutu pengurusan lebuh raya, terutama dari segi sistem kutipan tol supaya pengguna tidak perlu bersesak semasa membuat pembayaran.
“Kerajaan sedang berusaha memastikan sistem MLFF dapat dilaksana, bermula dengan kajian penggunaan pada 2024 sebelum penggunaan sepenuhnya pada 2025 untuk mengelakkan penggunaan palang,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pelaksanaan MLFF akan memberi impak positif kepada masalah kesesakan yang semakin meruncing, terutama di kawasan plaza tol apabila pengguna tidak lagi perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk membuat pembayaran.
Katanya, MLFF juga akan memberi kemudahan serta meningkatkan pengalaman pengguna melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien.
Dianggarkan empat hingga lima juta kenderaan menggunakan jaringan lebuh raya bertol sehari.
Beliau berkata, KKR bersetuju menaik taraf Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari plaza tol Karak hingga Bentong.
Projek itu yang dijangka bermula Julai ini, katanya, akan dilaksanakan syarikat konsesi dan mengambil masa empat tahun dengan kos RM2.1 bilion.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM865.27 juta bagi KKR dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti, selepas dibahas 26 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.