Aktivis P Pinang bidas Putrajaya lulus dana projek laluan bawah tanah

Aktivis P Pinang bidas Putrajaya lulus dana projek laluan bawah tanah

Sebuah kumpulan pengangkutan awam dan bekas jurutera negeri berkata projek laluan bawah tanah Mount Erskine tidak dapat tangani kesesakan lalu lintas di kawasan terjejas.

Laluan bawah tanah Mount Erskine akan bersambung ke Jalan Burma di bawah persimpangan Gottlieb-Bagan Jermal. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Aktivis pengangkutan membidas keputusan Putrajaya memperuntukkan dana untuk laluan bawah tanah Mount Erskine di bawah Belanjawan 2026 kerana projek itu tidak menawarkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu kesesakan lalu lintas di kawasan terjejas.

Projek itu dijangka membabitkan laluan bawah tanah pendek yang menghubungkan Mount Erskine ke Jalan Burma di bawah persimpangan Gottlieb-Bagan Jermal.

Zulfikar Abdul Aziz.

Zulfikar Abdul Aziz dari Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Pulau Pinang (Petua) mempersoalkan mengapa kerajaan pusat tidak menganjurkan sesi “town hall” bagi mendapat maklum balas penduduk setempat sebelum meluluskan dana untuk projek itu.

Menurutnya, kajian tapak Petua mendapati kesesakan di Jalan Gottleib hanya berlaku pada waktu puncak sebelah pagi dan tengah hari, dikaitkan dengan dua sekolah terletak di sepanjang jalan itu – Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Perempuan Cina Pulau Pinang dan SJKC Phor Thay.

Beliau berkata, parkir terhad dalam kawasan sekolah memaksa ibu bapa meletak kenderaan di sepanjang Jalan Gottlieb–Bagan Jermal, memburukkan lagi kesesakan lalu lintas.

“Dengan sekolah yang terletak di kedua-dua simpang itu, kesesakan akan berlaku pada pagi dan petang. Oleh itu, laluan bawah tanah ini tidak banyak membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Dalam keadaan terbaik, kenderaan mungkin tidak terkumpul dalam laluan bawah tanah itu, tetapi kesesakan lalu lintas di atasnya tetap berlaku,” katanya kepada FMT.

Lim Thean Heng.

Sementara itu, bekas jurutera pengangkutan negeri, Lim Thean Heng bimbang projek laluan bawah tanah itu mungkin mengalihkan kesesakan dari Jalan Mount Erskine ke Jalan Gottlieb dan kemudian ke Jalan Burmah-Jalan Cantonment.

“Itu (laluan bawah tanah tidak) benar-benar menyelesaikan masalah kerana ia sebenarnya memindahkan kesesakan ke tempat lain di hujung jalan.”

Perlu lebih banyak kajian

Lim berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kerajaan negeri perlu menjalankan satu lagi kajian trafik —khasnya di sepanjang Mount Erskine, Tanjong Tokong, Jalan Gottlieb, Jalan Burmah, Jalan Kelawei dan Persiaran Gurney – untuk mencari jalan mengurangkan kesesakan.

Jelasnya, pihak berkuasa perlu melakukan kiraan trafik dan kemudian menjalankan simulasi komputer untuk menilai bagaimana aliran trafik.

Bekas jurutera pengangkutan itu mengakui sebarang langkah, termasuk kerja pelebaran jalan, tidak mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pulau itu.

“Sudah terbukti berulang kali jika anda tambah jalan raya tanpa mengehadkan bilangan kereta atas jalan, semua jalan akhirnya akan mengalami kesesakan.

“Kerajaan persekutuan memperuntukkan dana untuk membina lebih banyak jalan di Pulau Pinang. Walaupun ini (projek laluan bawah tanah) adalah infrastruktur penambahbaikan jalan, ia tidak akan menyelesaikan masalah dalam jangka panjang atau pendek. Jadi, ia tidak perlu difikirkan.

“Dengan jumlah kereta yang dibeli orang ramai dan aliran kenderaan ke Pulau Pinang, sistem jalan raya kita tidak dapat menampungnya – khasnya di pusat bandar dan kawasan bandar.

Lebih banyak bas

Zulfikar mencadangkan tambahan jumlah bas Rapid Penang bagi memenuhi nisbah 1,000 bas bagi setiap juta penduduk, meningkatkan perkhidmatan di seluruh negeri, termasuk di sekitar sekolah dekat persimpangan Gottlieb-Bagan Jermal.

Beliau berkata, pelajar mesti digalak menggunakan bas awam serta van perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) bagi mengurangkan masalah lalu lintas yang dihadapi dua sekolah itu.

Kerajaan negeri meminta RM3.75 juta daripada Putrajaya untuk memulakan projek laluan bawah tanah tahun depan. Ia satu daripada 128 cadangan infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, dengan RM2.1 bilion untuk tahun depan.

Projek itu dikritik secara meluas oleh kumpulan masyarakat sivil sejak beberapa tahun ini, dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyifatkannya pembaziran wang.

Tetapi, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mempertahankan projek itu dengan menyifatkannya “pilihan terbaik” untuk menyelesaikan masalah lalu lintas di kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.