
Beliau berkata langkah itu diyakini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kronik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sedia ada.
“Memang ada perancangan kerajaan untuk meneruskan WCE yang pada ketika ini sudah hampir siap keseluruhannya sehingga ke Banting.
“Seterusnya akan diturunkan daripada Selangor sampai ke Pontian melalui Batu Pahat, Muar, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Ini telah diumum dalam Belanjawan 2025, sekarang ini kerja-kerja awalan sedang dibuat,” katanya menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di Dewan Rakyat.
Aminolhuda meminta penjelasan berhubung perancangan kerajaan membangunkan lebuh raya di kawasan pesisir pantai Johor.
Pada Okt 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan Projek Lebuhraya WCE Banting-Gelang Patah yang mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP).
Lebuhraya WCE adalag projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer (km) yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke PLUS bagi mengurangkan kesesakan.
Sehingga September lalu, daripada keseluruhan 11 seksyen WCE sepanjang lebih 200km itu, lapan seksyen dibuka kepada orang ramai iaitu 96 peratus melibatkan seksyen 1, 2, 5 dan 6 di Selangor serta seksyen 8 hingga 11 di Perak.
Ketika ini, masih ada tiga seksyen yang belum dibuka iaitu Seksyen 3 (Seri Andalas ke Lebuhraya Persekutuan) dan Seksyen 7 (Assam Jawa ke Tanjung Karang), manakala Seksyen 4 (Lebuhraya Persekutuan ke NKSB) pula telah siap sejak 2019 tetapi masih belum dibuka kerana menunggu sambungan ke Seksyen 3.