Nama besar sertai penduduk bantah Wisma Damansara dibangun semula

Nama besar sertai penduduk bantah Wisma Damansara dibangun semula

Nazir Razak, Sheila Majid dan Khairy Jamaluddin bersama hampir 300 penduduk membantah rancangan membina menara berkembar 60 tingkat.

Protest Against A Multi Skyscraper Development by BRDB
Penduduk Bukit Damansara yang disokong tokoh terkemuka membantah rancangan pembangunan semula Wisma Damansara menjadi menara berkembar 60 tingkat.
KUALA LUMPUR:
Hampir 300 penduduk Bukit Damansara bersama penyanyi Sheila Majid, bekas pengerusi CIMB Nazir Razak, bekas menteri Khairy Jamaluddin dan aktivis Ambiga Sreenevasan membantah rancangan pembangunan semula Wisma Damansara menjadi menara berkembar 60 tingkat.

Penduduk yang memegang sepanduk tertera “Selamatkan Bukit Damansara” dan “Tidak kepada pencakar langit” memberi amaran projek itu akan menyebabkan Jalan Semantan berdepan kesesakan lalu lintas kekal, membebankan infrastruktur sedia ada dan menghapuskan identiti kejiranan.

Walaupun menyokong pembangunan, Nazir bagaimanapun menyifatkan projek itu “terlalu besar dan tidak wajar”.

“Pembangunan boleh diteruskan, tetapi jangan bina dua bangunan 60 tingkat yang akan musnahkan alam sekitar kita,” katanya ketika protes.

(Dari kiri) Nazir Razak, Khairy Jamluddin dan Sufian Majid menyertai protes hari ini.

Sheila yang menetap di sana sejak 1970-an berkata, Bukit Damansara dahulunya kawasan yang hijau dan tenang.

“Ada udara segar, semangat kejiranan dan privasi. Saya masih ingat berbasikal dan membaca buku komik percuma. Semua orang saling mengenali.

“Sekarang kita ada bangunan tinggi, struktur bertingkat mencacatkan pemandangan dan lalu lintas huru-hara di sepanjang Jalan Semantan. Kita bukan anti-pembangunan, tetapi apabila kualiti hidup terjejas, kita perlu bersuara.”

Khairy, yang sudah lama tinggal di sana berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberi penjelasan sama ada kajian impak trafik dijalankan.

“Saya percaya Datuk Bandar yang berjiwa perancang bandar tidak mahu bangunan 60 tingkat di sini.

“Jika ini diteruskan, adakah kita akan meninggalkan Damansara? Tidak, kita tidak akan ke mana-mana. Tetapi, perkara terakhir yang kita mahu ialah melihat tempat ini bertukar menjadi satu lagi KLCC.”

Sebanyak 300 isi rumah di Bukit Damansara dilaporkan sudah menyerahkan surat bantahan rasmi projek itu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut membantah rancangan itu dan menggesa DBKL mematuhi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (KLLP 2040) kerana penyimpangan berterusan daripada rancangan itu “menggugat perancangan bandar dan menghakis kepercayaan awam”.

Presiden Persatuan Pemilik Rumah Bukit Damansara, Sufian Majid, berkata penduduk hanya mengetahui projek itu melalui notis akhbar 1 Ogos lalu, yang mendedahkan kelulusan nisbah plot 1:9.6 – 60% lebih tinggi daripada had 1:6 ditetapkan KLLP 2040.

“Jalan Semantan sudah sesak pada waktu puncak disebabkan trafik dari Lebuhraya Sprint. Pekerja pejabat meletak kenderaan secara haram di jalan kediaman sehingga menyebabkan kawasan kejiranan sesak.”

Ambiga berkata, bantahan itu demi melindungi hak untuk hidup dalam komuniti mampan.

“Kami tidak bercakap tentang bangunan, ini rumah kami. Pembangunan mesti lestari. Itu hak asasi penduduk dan kita tidak boleh berputus asa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.