Perbuatan khianat, ugut 2 kru ‘Mentega Terbang’ babit suspek sama, kata polis

Perbuatan khianat, ugut 2 kru ‘Mentega Terbang’ babit suspek sama, kata polis

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata hasil siasatan mendapati perbuatan itu menggunakan modus operandi sama.

Keadaan kereta dua kru penerbitan ‘Mentega Terbang’ yang disimbah cat dan asid, selain nota ugutan bunuh diterima mereka pagi semalam. (Gambar Twitter Hadi Azmi)
PETALING JAYA:
Polis tidak menolak kemungkinan suspek sama mendalangi perbuatan khianat ke atas kenderaan milik dua kru penerbitan filem “Mentega Terbang” semalam.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata hasil siasatan mendapati perbuatan itu menggunakan modus operandi sama.

Setakat ini, katanya, tiada individu lain kecuali dua pengadu yang juga kru penerbitan filem itu memberi keterangan.

“Keterangan kedua-dua pengadu dalam kes ini sudah diambil sewaktu mereka tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, media melaporkan kenderaan milik pengarah, Khairi Anwar Jailani dan pelakon, Arjun Thanaraju disimbah cat serta asid, selain ditinggalkan nota ugutan bunuh.

Kejadian pertama berlaku di parkir terbuka Taman Dagang Jaya, Ampang pada 6.30 pagi semalam. Pengadu memaklumkan Proton Saganya disimbah cat dan helaian nota mengandungi tulisan berunsur ugutan jenayah ditemui dekat keretanya.

Kejadian kedua berlaku di Kajang pada 3.15 pagi semalam, di mana kereta pengadu dibaling plastik lut sinar berisi cecair cat dan satu sampul surat putih dengan tulisan berunsur ugutan jenayah diterima.

Pengadu turut menerima mesej berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarganya melalui telefon.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (perbuatan khianat).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.