Menara telekomunikasi di Raub dirosakkan, 8 kampung terjejas

Menara telekomunikasi di Raub dirosakkan, 8 kampung terjejas

Kerosakan akibat perbuatan vandalisme itu menyebabkan banyak peralatan tidak lagi boleh digunakan, kata exco.

Fadzli Mohamad Kamal
Exco Pahang Fadzli Mohamad Kamal seru orang ramai segera lapor sebarang kegiatan mencurigakan di menara komunikasi. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Sebuah menara komunikasi milik syarikat telekomunikasi CelcomDigi di Dong, Raub, dilaporkan rosak akibat perbuatan vandalisme, sekali gus menjejaskan perkhidmatan di beberapa kawasan sekitar.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata, siasatan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati menara itu berperanan sebagai ‘collector’ yang menghubungkan lapan menara pemancar lain.

Katanya pemancar yang terjejas susulan insiden itu terletak di Kampung Gesing, Sungai Ruan, Kampung Jelu, Bukit Pampong, Kampung Chendra Chinchin, Kampung Tanjung Putus, Kampung Temau dan Kampung Gali Hilir.

“Akibat perbuatan khianat ini, banyak peralatan mengalami kerosakan serius dan tidak lagi boleh digunakan, sekali gus memerlukan penggantian baharu yang tertakluk kepada ketersediaan stok.

“Sebagai langkah sementara, pihak CelcomDigi sedang berusaha mengaktifkan semula menara terbabit secara berperingkat bagi memulihkan perkhidmatan di kawasan terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadzli menyeru orang ramai agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dan segera melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan di menara komunikasi bagi mengelak insiden seumpamanya berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.