
Tertuduh, Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 19; Ahmad Rushdi Jumadi, 20; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 25 dan Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 19.
Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 25; Syamsul Haniziew Saiful Razali, 20, dan Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Atifah Azimah Wahab.
Menerusi pertuduhan pertama, lapan individu berkenaan termasuk Nuredrianna Balqqisyh Anabella yang dikenali Bella didakwa secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian dengan niat menakutkan mangsa.
Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh termasuk Bella bersama-sama dua lagi yang masih bebas dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Faris Syahmi, bahawa mereka tidak akan berhenti memukul mangsa sehingga dia bersetuju membayar wang RM3,000.
Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM650 dan kunci motosikal Yamaha Y16 kepada tertuduh, Amierul Hakim.
Mengikut pertuduhan ketiga pula, semua tertuduh termasuk Bella serta dua lagi yang masih bebas didakwa secara bersama-sama mengurung mangsa.
Semua tujuh tertuduh lelaki turut mengaku salah terhadap pertuduhan keempat iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Faris Syahmi, dengan seorang lagi masih bebas, lapor Harian Metro.
Semua kesalahan berkenaan dilakukan mereka di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, Johor Bahru, antara 10 malam hingga 4 pagi, pada 18 hingga 19 April.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506; Seksyen 384, dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan keempat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nuraini Nik Azman, dan Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahin Mohd Yazid dan T Nadarajan.
Terdahulu, Abdul Ghafar memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin atas setiap pertuduhan berkenaan.
“Ini bermakna semua tujuh tertuduh lelaki dimohon dikenakan jaminan berjumlah RM40,000 setiap seorang bagi empat pertuduhan, manakala tertuduh wanita iaitu Bella dimohon dikenakan jaminan berjumlah RM30,000, bagi tiga pertuduhan dihadapinya,” katanya.
Namun, Norfarahin memohon supaya mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah semua tertuduh, sekali gus mengenakan jaminan lebih rendah.
“Tiga tertuduh termasuk Bella tidak bekerja manakala empat tertuduh lain bekerja sebagai pekerja kilang manakala seorang lagi bekerja sebagai pekerja kelab dengan pendapat antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan sahaja.
“Bella tinggal bersama ibu bapanya dan dia menderita penyakit asma,” katanya.
Majistret kemudian memerintahkan semua tujuh tertuduh lelaki dijamin sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin, manakala Bella dijamin sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan tarikh bacaan fakta kes dan jatuh hukum pada 3 Jun depan.