
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata lelaki yang melakukan perbuatan itu bersama teman wanitanya berusia 19 tahun selepas diupah ‘along’ akan didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat, serta Seksyen 436 dan Seksyen 507 akta sama, masing-masing bagi kesalahan khianat dan menakutkan secara jenayah.
Katanya, wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan akan menjadi saksi pendakwaan.
Menurutnya, pada 25 Julai IPD Segamat menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di Kampung Bukit Siput membabitkan lima rumah yang mengorbankan mangsa berusia 72 tahun pada 4.30 pagi.
Ketika kejadian warga emas itu tinggal bersendirian.
“Siasatan polis dan bomba Johor mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran itu,” katanya pada sidang media di IPK Johor, lapor Bernama.
Beliau berkata, susulan itu polis menubuhkan pasukan petugas bagi menyiasat kes itu dan berjaya memberkas pasangan kekasih tersebut di Subang Jaya, Selangor, seminggu selepas kejadian.
“Hasil soal siasat, (kedua-dua suspek) mengaku diupah sindiket ‘along’ di Singapura untuk melakukan ugutan jenayah dengan khianat membakar rumah peminjam yang tidak membayar pinjaman,” katanya memaklumkan pinjaman disyaki dibuat ahli keluarga mangsa.
Ab Rahaman berkata, siasatan juga mendapati pasangan kekasih itu bergiat aktif melakukan jenayah khianat di sekitar Johor dan Selangor sejak Julai lalu dengan bayaran upah RM1,000 untuk satu tugasan.
Sehubungan itu, empat kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor dan pihaknya menerima arahan tuduhan.