Mahkamah kekal kemenangan calon GPS di Lubok Antu

Mahkamah kekal kemenangan calon GPS di Lubok Antu

Mahkamah Tinggi Kuching menolak petisyen difailkan calon PSB, Johnical Rayong Ngipa.

Roy Angau Gingkoi memenangi kerusi Parlimen Lubok Antu dengan majoriti tipis 100 undi pada PRU15. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuching mengekalkan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roy Angau Gingkoi di Parlimen Lubok Antu pada PRU15, selepas menolak petisyen difailkan pencabarnya.

Menurut laporan Borneo Post, Hakim Duncan Sikodol berkata, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Johnical Rayong Ngipa gagal membuktikan dakwaan terhadap Angau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pegawai pengurus pilihan raya.

Rayong yang juga Adun Engkilili tewas kepada Angau dengan majoriti tipis 100 undi dalam pertembungan empat penjuru pada PRU15 November lalu.

Beliau mendakwa permohonannya untuk kiraan semula undi ditolak pegawai pengurus pilihan raya tanpa sebarang alasan.

Rayong juga mendakwa beberapa stesen televisyen melaporkan PSB menang, tetapi kemudiannya Angau pula diisytiharkan sebagai pemenang.

Timbalan presiden PSB itu memberitahu wartawan di luar mahkamah, beliau tidak akan merayu terhadap keputusan itu.

Katanya, beliau “sangat sedih” dengan keputusan itu dan akan menumpukan usaha pada PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.