Tubuh RCI siasat kempen rasis PRU15, kerajaan diberitahu

Tubuh RCI siasat kempen rasis PRU15, kerajaan diberitahu

Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) memberi contoh calon membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak wajar.

Aminolhuda Hassan menggesa kerajaan menubuhkan tabung khas untuk mempromosi filem tempatan yang memberi inspirasi kepada perpaduan negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat kesalahan membabitkan sentimen perkauman sepanjang tempoh berkempen PRU15.

Katanya, ada calon yang bercakap “tanpa berfikir” dan tidak wajar, semata-mata untuk meraih sokongan.

“Dengan peruntukan dalam belanjawan, adakah kerajaan bercadang menubuhkan RCI untuk menyiasat perkara ini?” soalnya ketika perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan wajar berbuat demikian kerana ada calon yang membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak wajar ketika kempen pilihan raya.

November lalu, FMT melaporkan satu inisiatif belia mengesan empat calon PRU15 memainkan sentimen perkauman dan agama semasa berkempen di media sosial.

#KamiNampak mengenal pasti calon PAS, Siti Zailah Yusoff, V Ganabatirau (DAP), Fazli Mohammad (Gerakan Tanah Air) dan Priscilla Lau (Parti Sarawak Bersatu).

Ketua Perikatan Nasional (PN) Kedah, Sanusi Md Nor turut didakwa menggunakan retorik berbaur perkauman ketika berkempen untuk calon gabungan itu di Padang Serai.

Polis turut menyiasat kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Shahiful Nasir dan pelakon Zul Huzaimy.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Rafizi membuat laporan polis terhadap Shahiful yang memberi amaran kepada pengundi akan “masuk api neraka” jika memilih Barisan Nasional dan Pakatan Harapan berbanding PN pada PRU15.

Beliau turut membuat laporan polis terhadap Zul atas ugutan jenayah dan berniat menghasut kerana dikatakan mahu “menyembelih kafir harbi”.

Zul kemudiannya memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya di Terengganu pada 4 Nov lalu, yang videonya turut tersebar di media sosial.

Bernama pula melaporkan Shahiful memohon cuti daripada tugas dan semua jawatan dalam parti. Keputusan itu, katanya, diambil secara sukarela dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

Dalam perkembangan lain, Aminolhuda menggesa kerajaan menubuhkan tabung khas untuk mempromosi filem tempatan yang memberi inspirasi kepada perpaduan negara.

Katanya, filem mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi kepada perpaduan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak, contohnya “Muallaf” dan “Talentime” arahan Yasmin Ahmad.

Menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan bulan lalu, kerajaan mencadangkan potongan cukai untuk sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas. Ia turut memperuntukkan RM550 juta untuk program perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.