
Suhakam berkata ia bimbang sekiranya jawatankuasa penyiasatan khas tidak mempunyai kuasa statutori yang jelas serta kuasa penyiasatan yang mencukupi, bagi menyiasat dakwaan melibatkan Azam Baki.
“Badan yang tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi hadir, menghendaki pengeluaran dokumen, atau mendapatkan bukti berkaitan, berisiko dinilai sebagai terhad dari segi skop dan keberkesanan,” menurut kenyataan.
Suhakam menerangkan RCI mempunyai kuasa untuk memanggil saksi, memeriksa mereka bawah angkat sumpah, serta memaksa pengeluaran dokumen.
“Kuasa-kuasa ini amat penting bagi memastikan pemeriksaan yang menyeluruh, bebas dan telus terhadap semua dakwaan berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, Suhakam berkata skop siasatan juga perlu bersifat menyeluruh, dan penyiasatan tidak seharusnya terhad kepada isu tertentu sahaja.
Jelasnya, penyiasatan mesti merangkumi semua dakwaan serius yang diketahui umum, termasuk dakwaan berkaitan pemilikan saham serta laporan dakwaan pakatan sulit.
“Pendekatan yang tidak menyeluruh atau bersifat selektif berisiko mewujudkan persepsi berat sebelah dan menjejaskan kredibiliti proses tersebut,” katanya.
Sementara itu, Suhakam berpandangan badan penyiasatan yang dicadangkan wajar dipimpin oleh seorang bekas ketua hakim negara, seperti Tengku Maimun Tuan Mat, menyokong gesaan agar Azam ditempatkan dalam cuti bergaji sepanjang tempoh RCI menjalankan siasatan.
Penubuhan suatu jawankuasa khas diumumkan pada Jumaat, dipengerusikan Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.
Azam dalam kenyataan berkata, beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan dan harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi.
Azam turut memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.