Pengerusi bukan ‘poster boy’ cetus tanggapan PN bergelut calon PM

Pengerusi bukan ‘poster boy’ cetus tanggapan PN bergelut calon PM

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata kenyataan pemimpin PAS bahawa pengerusi PN tidak semestinya calon 'poster boy' dedah realiti sebenar politik dalaman PN.

pn
PN kini dilihat masih buntu mengisi jawatan pengerusi dikosongkan Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Jan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kenyataan pemimpin PAS yang jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya diangkat sebagai ‘poster boy’ atau calon perdana menteri (PM) isyarat gabungan itu masih bergelut mencari hala tuju menjelang PRU16, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kenyataan itu mendedahkan realiti sebenar politik dalaman PN, khususnya peranan dominan PAS yang dilihat enggan menampilkan calon perdana mengeri secara jelas kepada pengundi.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Menurut penganalisis dari Global Asia Consulting itu, apabila pimpinan tertinggi sendiri memberi gambaran pengerusi tidak semestinya menjadi wajah utama gabungan, ia memberi mesej kepada rakyat PN tidak yakin dengan kepimpinan sendiri.

“Jika pengerusi pun tidak dianggap layak sebagai ‘poster boy’, ini menunjukkan PN tidak bersatu dan gagal menawarkan alternatif kepimpinan nasional yang meyakinkan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pengerusi PN yang menggantikan Muhyiddin Yassin tidak boleh dianggap sebagai jaminan kepada pemimpin berkenaan menjadi calon ‘poster boy’ atau perdana menteri PRU16.

Jika penggantinya daripada PAS, pemimpin terbabit juga tidak semestinya menjadi pengganti Hadi Awang sebagai presiden parti, menurut Tuan Ibrahim.

Zaharuddin berpandangan, pendekatan itu bukan strategi pilihan raya terbaik, sebaliknya mencerminkan kebimbangan dalaman terhadap penerimaan calon PAS dalam kalangan pengundi arus perdana.

PN kini dilihat masih buntu mengisi jawatan pengerusi dikosongkan Muhyiddin berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, kenyataan Tuan Ibrahim boleh dilihat sebagai langkah awal PAS untuk menjarakkan kemungkinan Muhyiddin dijadikan ‘poster boy’ PN jika beliau terus kekal sebagai pengerusi gabungan itu.

Menurut Azmi, kegagalan menamakan calon PM yang jelas akan memberi kesan negatif kepada keyakinan penyokong PN dan berpotensi menghakis sokongan sedia ada.

“Masalah PN sekarang bukan sekadar siapa pengerusi, tetapi siapa calon PM. Pengundi mahu tahu siapa yang akan memimpin negara, bukan sekadar siapa mengetuai gabungan,” katanya.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Shaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat, kenyataan Tuan Ibrahim menimbulkan persoalan besar tentang hierarki dalam PN sebagai sebuah institusi politik.

Katanya, dalam mana-mana gabungan, pengerusi sepatutnya berada pada kedudukan tertinggi dan menjadi calon utama untuk jawatan perdana menteri.

“Implikasinya orang luar akan mempersoalkan adakah pengerusi PN tak cukup bagus. Kesannya mungkin akan hilang sokongan dalam kalangan pengundi atas pagar,” katanya.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Syaza berkata, meskipun PAS dan Bersatu mempunyai perbezaan ideologi, PN memerlukan seorang calon perdana menteri yang sederhana, berkarisma dan boleh diterima semua komponen gabungan serta majoriti pengundi.

Namun, beliau berpandangan kenyataan Tuan Ibrahim juga mengesahkan PN ketika ini masih belum mempunyai satu figura penyatu yang benar-benar kukuh untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri.

“Selagi PN gagal menyelesaikan isu pengerusi dan poster boy secara tuntas, kenyataan seperti ini hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa gabungan itu masih berpecah dan tidak bersedia untuk mentadbir negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.