
Lau berkata walaupun Gerakan hanya mempunyai seorang wakil rakyat yang dipilih, parti itu menerusi Adun Kulim Wong Chia Zhen telah berjaya membantu menyelesaikan banyak isu di Kedah.
Wong, yang juga setiausaha agung Gerakan, merupakan exco kerajaan negeri Kedah yang dipimpin Menteri Besar Sanusi Nor dari parti PAS.
Lau turut berkata Gerakan mempunyai rekod pencapaian yang terbukti selepas mentadbir Pulau Pinang selama 39 tahun, bukti bahawa parti itu mempunyai keupayaan pentadbiran dan kebijaksanaan untuk memimpin.
“Beri kami peluang. Beri kami platform. Semua isu bukan Melayu dan bukan Islam (di Kedah), kami dapat selesaikan dengan hanya satu wakil sahaja.
“Jika beri saya 10 wakil rakyat, saya rasa kami boleh selesaikan lebih banyak masalah yang dihadapi negara,” katanya dalam temu bual bersama media terpilih.
Gerakan ialah komponen gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN), yang mencatat kemajuan signifikan di Pulau Pinang dalam PRN 2023 dengan memenangi 11 kerusi.
Bagaimanapun, semua kerusi itu dimenangi oleh parti berasaskan Melayu dalam PN iaitu PAS dan Bersatu, masing-masing tujuh dan empat kerusi.
Manakala semua calon Gerakan di Pulau Pinang pula tewas, termasuk Lau yang kalah di Bayan Lepas.
Gerakan pernah menjadi kuasa dominan dalam politik Pulau Pinang selama hampir empat dekad, namun mengalami kekalahan teruk pada PRU 2008. Parti itu, yang ketika itu sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) kehilangan semua kerusi DUN.
Sejak itu, Gerakan gagal merampas semula sebarang kerusi di Pulau Pinang, walaupun selepas keluar daripada BN susulan kekalahan gabungan itu di peringkat persekutuan pada PRU 2018.
Fokus kerusi utama setiap negeri
Bagi PRU16, Lau berkata Gerakan akan menumpukan kepada kerusi Parlimen dan DUN utama bagi setiap negeri untuk mengoptimumkan sumber kempen.
Katanya, parti itu akan menyasarkan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN di setiap negeri, selain tetap bertanding di beberapa kerusi tambahan.
“Gerakan merancang memfokuskan usaha pada sejumlah kecil kerusi utama, bukan bertanding secara meluas. Daripada bertanding banyak kerusi tetapi kalah semua, lebih baik menang beberapa kerusi.
“Sebab itu kami tampil dengan idea ini: satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN di setiap negeri,” katanya.
Timbalan pengerusi PN itu menambah bahawa Gerakan telah mengenal pasti kerusi utama dan mula membuat persiapan awal dengan menurunkan bakal calon ke lapangan supaya dikenali pengundi lebih awal.
“Kami sudah mula bergerak. Kami tidak boleh letak calon saat akhir. Ia tidak akan berjaya,” kata Lau sambil menambah bahawa perkara itu merupakan pengajaran besar daripada pilihan raya lalu.