
Ahli Parlimen Bera berkata, beliau kekal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan ketua Umno Bera, namun mengakui tidak lagi terlibat secara langsung dalam politik ‘mainstream’.
“Saya masih aktif sebagai Ahli Parlimen dan ketua Umno bahagian. Tetapi saya sedar tidak lagi aktif dalam arus perdana politik tanah air,” katanya.
Ismail berkata demikian selepas program ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Merak, Larkin Jaya.
Mengulas mengenai kemungkinan kekal bertanding di Parlimen Bera pada PRU akan datang, Ismail Sabri berkata beliau belum buat sebarang keputusan lagi.
“Keputusan berkenaan PRU akan dibuat apabila sampai waktunya,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata, fokus utamanya ketika ini adalah membantu golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Buat masa ini saya memberi tumpuan membantu kira-kira 1,000 anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga disebabkan pandemik Covid-19. Itu fokus saya ketika ini,” katanya.
Pada PRU15, Ismail berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera untuk lima penggal berturut-turut apabila menang dengan majoriti 16,695 undi dalam saingan tiga penjuru.
Beliau yang memperoleh 31,762 undi menewaskan calon daripada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.
Ismail adalah naib presiden Umno dari 2018 hingga 2023 sebelum memutuskan untuk tidak bertanding jawatan tertinggi parti di peringkat pusat selepas PRU15.