
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata nama pemimpin itu tidak boleh didedahkan lagi kerana perlu menunggu keputusan muktamad yang akan dibuat melalui mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN selaras dengan perlembagaan gabungan itu, lapor Sinar Harian.
“Calon itu adalah pemimpin tertinggi PAS dan merupakan Ahli Parlimen,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu program di Kota Bharu malam tadi.
Beliau yang juga timbalan setiausaha agung PN juga menyuarakan keyakinan bahawa isu berkaitan pelantikan pengerusi gabungan itu dapat diselesaikan dengan baik.
Semalam, Takiyuddin berkata mesyuarat MT PN yang dihadiri semua empat presiden parti komponennya akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan jawatan pengerusi baharu gabungan itu.
Beliau berkata surat jemputan dihantar kepada semua presiden parti komponen dua hari lalu dan pihaknya sedang menyelaraskan jadual bagi memastikan kehadiran mereka.
“Saya telah menghubungi empat presiden parti anggota PN untuk menentukan satu tarikh semua mereka boleh hadir. Tiada kecuali. Setakat ini, belum mendapat satu tarikh yang dipersetujui semua.
“Seorang presiden menyatakan tidak awal daripada 19 hari bulan ini, yang lain belum bagi (tarikh) lagi,” katanya
Beliau menjangkakan mesyuarat itu akan diadakan selepas 20 Feb ini.
Jawatan pengerusi PN kosong susulan Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu melepaskan jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.