
“Setiausaha politik saya membuat satu laporan polis terhadap Che’GuBard yang memfitnah saya dan tularkan fitnah tersebut dalam media sosial dan WhatsApp.
“Memberikan gambaran bahawa agensi KBS sekarang menjadi ‘Kristian Evangelist’ selepas saya menjadi menteri belia dalam Kerajaan Malaysia Madani,” katanya ringkas berserta lampiran laporan polis di Facebook.
Sementara itu menjawab tuduhan berkenaan, agensi Impact Integrated menjelaskan inisiatif Projek Artikel 11 bertujuan mendedahkan golongan belia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa.
Menurut agensi itu, ia untuk meningkatkan sifat inklusif melalui aktiviti lawatan dan kesukarelawanan di Lembah Klang.
“Projek Artikel 11 mempunyai dua gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program ‘Jom Ziarah’ di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.
“Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan.”
Terdahulu, Che’GuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin menerusi Facebook menimbulkan persoalan mengenai suatu program Projek Artikel 11.
Dia memuatnaik poster yang dikaitkan dengan program Jom Ziarah, memaparkan rancangan melawat gereja untuk belia bukan Kristian.