Penganjur Warzone perlu tunggu 30 hari ketahui status kelulusan

Penganjur Warzone perlu tunggu 30 hari ketahui status kelulusan

Permohonan WWC akan diproses tanpa keistimewaan, serta insurans dan permit diteliti, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

hannah yeoh
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, tiada keistimewaan akan diberikan kepada penganjur WWC walaupun kejohanan itu telah tular di media sosial. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganjur Warzone World Championship (WWC) perlu menunggu kira-kira 30 hari bagi mengetahui status kelulusan kejohanan tempur tersebut, tegas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Yeoh dilaporkan berkata demikian selepas penganjur mengumumkan bahawa acara WWC 2025 dijadualkan akan tetap berlangsung pada 6-7 Dis, dan jualan tiket juga kekal tersedia.

Beliau berkata, tiada keistimewaan akan diberikan kepada penganjur walaupun kejohanan itu telah tular di media sosial.

“Kita akan proses permohonan mereka dan pesuruhjaya sukan (PJS) akan meneliti insurans dan permit,” katanya, lapor Bernama.

“Untuk badan sukan kebangsaan pula, mereka akan meneliti atlet-atlet yang datang, sama ada mereka ini ada latihan atau tidak.”

Terdahulu, menteri mengesahkan PJS telah menerima permohonan rasmi daripada penganjur WWC bagi tujuan pendaftaran dan pematuhan sukan tempur.

Hannah mengulangi pendirian berhubung larangan penyertaan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah dalam sukan tempur sentuhan penuh, kecuali mendapat kelulusan rasmi persatuan sukan kebangsaan atau negeri.

Beliau menegaskan semua pertandingan sukan tempur mesti dijalankan mengikut peraturan persekutuan antarabangsa, dan perlu melalui proses kelulusan sah sebelum dibenarkan berlangsung.

Video promosi kejohanan itu sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet apabila menampilkan aksi dua petarung kanak-kanak dari Malaysia dan Indonesia ketika sesi pengenalan.

Sementara itu, penganjur WWC dalam kenyataan berasingan memaklumkan, kategori Junior telah dimansuhkan dalam kejohanan itu bagi mematuhi pekeliling Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penyertaan atlet di bawah usia 15 tahun dalam pertandingan sukan tempur.

“Untuk makluman, WWC pada awalnya mempunyai kategori khas Junior yang tidak melibatkan perlawanan fizikal berisiko tinggi, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek seni, teknik, dan disiplin bela diri.

“Penilaian berdasarkan kemahiran teknikal, disiplin dan etika sukan, bukan kemenangan dalam perlawanan,” katanya.

“Namun kategori ‘Junior’ telah dimansuhkan dalam WWC seiring dengan pekeliling baharu KBS yang tidak membenarkan atlet di bawah 15 tahun menyertai pertandingan sukan tempur.”

Penganjur WWC turut menegaskan, pihaknya menolak sebarang bentuk eksploitasi atau pendedahan berlebihan terhadap kanak-kanak dalam kegiatan berisiko.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.