Dulu tak suka sekarang suka

Dulu tak suka sekarang suka

Lantas sekarang saya sudah suka badminton. Saya kagum cara pemain negara dan luar negara beraksi pada setiap kejohanan 'week in week out'.

Mohsin Abdullah

Saya tak suka badminton. Itu dulu. Walaupun semasa jadi pemberita sukan dan ditugaskan oleh bos untuk cover badminton saya tetap tak minat. Tapi saya cover juga. Perlu ditegaskan saya tak minat sukan badminton bukan tak minat buat liputan badminton. Sebab diarah oleh pengarang sukan dan sememangnya tugas pemberita sukan buat liputan sukan. Apa yang disukai atau tidak disukai tolak tepi. It’s about the sport, not me.

Saya bangga mengatakan perasaan saya terhadap badminton tak pengaruhi atau mengganggu tugas saya membuat liputan sukan itu. Saya cover badminton sebaik mungkin. Dan saya kira saya berjaya kerana sepanjang liputan belasan jika tidak puluhan kejohanan badminton tidak pernah saya ditegur atau dimarahi mana-mana pihak kerana silap lapor atau meremehkan liputan. ‘Mana mana pihak’ itu termasuk pengarang sukan, pemain, jurulatih mahu pun pegawai sukan badminton. Jujur saya kata I gave my best in reporting badminton meskipun, diulangi saya tak minat badminton.

Perlu dinyatakan itu zaman setiap set dimainkan sehingga 15 mata. Memang jumlah kecil jika dibandingkan dengan 21 mata mengikut sistem kiraan sekarang.

Tetapi, pemain ikut sistem kiraan lama hanya boleh mendapat atau menambah mata jika memegang servis. Ertinya mesti mematikan ‘bola’ untuk merampas servis untuk ‘cuba’ mendapat mata.

Saya kata ‘cuba’ kerana pungutan mata tidak berubah apabila berjaya merampas servis lawan. Rampas servis hanya bererti dapat pegang servis, dan jika mematikan shuttlecock semasa pegang servis barulah mata bertambah.

Berdasarkan sistem ini sesuatu perlawanan boleh mengambil masa berjam-jam sebelum pemenang ditentukan apalagi jika ia dilanjutkan ke set ketiga atau dipanggil rubber set.

Berbalik soal tidak minat yang disebut tadi. Tidak berminat bukan bererti tidak bangga jika negara berjaya. Maksud saya setiap kali pemain Malaysia menang kejohanan luar atau dalam negara saya tumpang gembira dan bangga.

Apabila pasangan adik beradik Jalani dan Razif Sidek menang kejuaraan All England pada 1982 saya cukup bangga. Meskipun saya tidak membuat liputan kemenangan mereka ke atas pasangan Scotland Billy Gilliland dan Dan Travers.

Saya bangga apabila keluarga Sidek memperkenalkan (bagi saya mencipta) apa yang dinamakan ‘servis S’ (sewajarnya S untuk Sidek). Servis itu adalah teknik pemain memukul bulu tangkis di bahagian kepalanya menggunakan pukulan backhand untuk menghasilkan bulu tangkis berpusing-pusing dan mengelirukan pemain lawan. More often than not dapat point. Memang hebat.

Malangnya pada Julai 1982 servis S diharamkan oleh IBF atau International Badminton Federation atas alasan semasa servis dibuat bulu tangkis dipukul dua kali yakni kepala dan bulu dipukul serentak. Sekali gus dikatakan melanggar peraturan IBF.

Marah betul saya waktu tu. Pelbagai teori konspirasi timbul waktu itu dan jujur saya mengakui saya turut mempercayainya. Tidak perlu diulang apa konspirasi yang kedengaran waktu itu.

Saya juga kecewa apabila Misbun Sidek ditewaskan oleh Morten Frost pada final perseorangan All England pada 1986. Sesungguhnya saya mengagumi keupayaan adik-beradik Sidek dan pastinya usaha dan azam ayah mereka Mohd Sidek Abdullah Kamar dalam memastikan anak-anaknya jadi juara. Meskipun diulangi saya bukan peminat badminton.

Pada 1992 Malaysia menang Piala Thomas setelah menunggu selama suku abad. Waktu itu saya bukan lagi pemberita sukan walaupun masih bertugas dalam media. Saya bersama ribuan mungkin juga jutaan rakyat Malaysia menyaksikan kemenangan bersejarah itu melalui siaran televisyen.

Kecuali Misbun, adik-beradik Sidek ada dalam pasukan itu termasuk Rashid. Tidak lupa juga saya Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit serta Soo Beng Kiang. Mereka semua wira Malaysia.

Selepas itu saya tidak mengikuti perkembangan pasukan kebangsaan mahupun sukan badminton itu sendiri. Tetapi beberapa tahun lalu badminton menarik perhatian saya. Sukan itu secara keseluruhan juga pemain masa kini saya kagumi. Pemain negara lain dan tentunya pemain Malaysia.

IBF sudah tukar menjadi Badminton World Federation. Sebenarnya ini berlaku pada 2006. Cuma saya saja ketinggalan – baru tahu perkembangan baru ini. Dan selain Piala Thomas dan All England sudah ada BWF World Tour pelbagai peringkat atau tier. Ada Super 1,000 hingga ke 100.

Dan kejohanan demi kejohanan yang tinggi diadakan di merata dunia hampir setiap minggu berturut-turut. Jelas pemain mesti ada pada tahap kecergasan amat tinggi. Di samping skil dan kekuatan mental. Memang mencabar. Pemain era ini lelaki dan wanita mempunyai fizikal yang hebat.

Kebolehan pemain amat menakjubkan, pukulan smash begitu laju dan tajam. Namun, yang saya kagum defensive skil mereka yakni mampu retrieve pukulan smash. Ini dilakukan dengan gaya akrobatik. Mereka boleh dive seolah-olah ‘terbang’ untuk mendapatkan bulu tangkis. Pada pandangan saya pemain negara zaman lalu yang melakukan ini ialah Foo Kok Keong.

Ringkasnya, pemain sekarang lelaki dan wanita boleh serang dan bertahan dengan baik. Tidak perlu saya namakan pemain masa ini. Mereka sudah world famous.

Pemain kita tidak kurang hebat. Yang lelaki dan wanita. Mereka sudah menang banyak kejuaraan peringat antarabangsa. Meskipun kebelakangangan ini ada kejohanan tidak menyaksikan persembahan pemain Malaysia pada perlawanan akhir.

Tetapi keseluruhannya pemain negara mempamerkan prestasi baik untuk mara ke peringkat separuh akhir. Paling tidak suku akhir. Diakui ada juga pemain kita terkeluar pada pusingan pertama.

Bak kata Lee Chong Wei pemain Malaysia sekarang are there not just to make the numbers. Lantas sekarang saya sudah suka badminton. Saya kagum cara pemain negara dan luar negara beraksi pada setiap kejohanan week in week out.

Bercakap mengenai pemain negara saya simpulkan begini. Saya bangga bukan sahaja kerana persembahan mereka. Bukan sahaja kerana pencapaian mereka. Bukan sahaja kecergasan dan skil.

Saya bangga kerana mereka sama ada yang bangsa Cina, Melayu, India adalah anak Malaysia. Dilahir dan dibesarkan di Malaysia. Begitu juga ibu bapa dan datuk nenek mereka. Semua orang Malaysia.

Speaking of which saya wajib bangga pemain squash, boling, wushu, sepak takraw dan lain-lain yang bertarung pada kejohanan tahap dunia dan menang.

Saya bangga kerana mereka juga orang Malaysia 100%.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.