
Menterinya, Salahuddin Ayub berkata tindakan itu perlu, jika siasatan dalaman dijalankan pihaknya mendapati wujud kesalahan.
“Biasanya, kementerian akan melakukan siasatan dalaman terlebih dahulu kerana kita ada unit yang membuat audit dan siasatan. Namun, sekiranya isu itu serius dan kita temui pelanggaran undang-undang, kita tidak keberatan menyerahkan kes kepada polis atau SPRM.
“Kita akan beri kerjasama bagi memastikan ketirisan dapat diminimumkan kerana kita tidak mahu dalam pembentangan bajet akan datang atau dalam mana-mana laporan, ketirisan subsidi diesel ini masih menjadi isu,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, KPDN akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain, termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang berperanan menyalur dan mengawal subsidi diesel kepada nelayan.
Semalam, Salahuddin dilaporkan berkata, KPDN menubuhkan pasukan bertindak khas diketuai Ketua Setiausahanya, Azman Mohd Yusof bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel itu.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel dipercayai diseleweng tahun lepas.
Mengulas inisiatif Rahmah, Salahuddin berkata, pelaksanaan program yang dijayakan KPDN itu tidak melibatkan sebarang dana awam, sebaliknya atas sokongan pelbagai lapisan masyarakat yang mahu menangani kos sara hidup secara kolektif.
Malah katanya, KPDN akan terus mengkaji pelbagai mekanisme dalam menangani kos sara hidup untuk jangka panjang, termasuk menjalin kerjasama dengan agensi dan kementerian lain.
“Sejujurnya, saya belum berpuas hati dengan kerja yang dilakukan, jadi saya akan terus mempertingkat usaha agar inisiatif Rahmah ini boleh berkekalan, barangan terkawal serta meningkatkan pendapatan rakyat.”