Azam Baki senarai 5 negeri ‘lombong emas’ SPRM

Azam Baki senarai 5 negeri ‘lombong emas’ SPRM

Istilah itu merujuk negeri yang memerlukan campur tangan strategik dalam usaha membantu negara untuk menuju ke arah berpendapatan tinggi.

azam baki
Azam Baki beri amaran kepada semua pengarah SPRM negeri untuk menggunakan pemikiran kreatif dan berkesan dalam melaksanakan tugas.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki menyenaraikan lima negeri iaitu Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sebagai ‘lombong emas’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

Katanya, istilah itu merujuk kepada negeri yang memerlukan fokus kepada isu ekonomi dan rasuah yang memerlukan campur tangan strategik dalam usaha membantu negara untuk menuju ke arah berpendapatan tinggi.

“Istilah ‘lombong emas’ ini bukan bermaksud kita mahu tangkap orang, tetapi kita mahu melihat isu ekonomi dan isu rasuah yang perlu kita bantu selesaikan.

“Saya dah sebut sebelum ini bahawa peranan SPRM dalam hal kita mencegah rasuah ini sebenarnya untuk membantu mengembangkan ekonomi kita menjadi negara berpendapatan tinggi (to become a high income nation) satu hari nanti.

“Pakar-pakar kata tak lama dah, (sasaran itu dijangka dapat dicapai) 2030 nanti,” katanya ketika menjadi tetamu podcast Kolar Hitam bertajuk ‘Azam 2026 Membawa SPRM Berani & Radikal’, menurut Berita Harian.

Sebelum ini, Azam mengumumkan Pelan Strategik SPRM 2026-2030 yang berteraskan pemerkasaan penguatkuasaan berkesan, pencegahan rasuah menyeluruh dan pengurusan yang efektif.

Beliau dilapor berkata, setiap pengarah SPRM negeri dan bahagian diarahkan perlu mengenal pasti risiko rasuah pada peringkat individu, organisasi, sektor, negeri dan negara, selaras realiti corak rasuah berbeza mengikut geografi, budaya serta ekosistem ekonomi setempat.

Dalam pada itu, Azam memberi amaran kepada semua pengarah SPRM negeri untuk menggunakan pemikiran kreatif dan berkesan dalam melaksanakan tugas, bukan sekadar bergantung kepada kaedah rutin.

“Ambil contoh di Kelantan…kalau pengarah tidur, saya pastikan dia kerja 36 jam kerana isu di sana adalah sempadan, pencerobohan hutan dan mineral, yang perlu ditangani.

“Kalau masih buat kerja rutin sama seperti tangkapan kecil di tepi jalan, itu menunjukkan kita (SPRM) tidak efektif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.