
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata kontraktor yang menjalankan sesuatu projek dengan TLDM memerlukan penginapan untuk pekerja mereka dan keadaan itu dieksploitasi oleh pegawai berkenaan bagi kepentingan peribadi.
Katanya, siasatan awal mendapati antara enam hingga lapan kontraktor yang terbabit dengan projek tersebut diarah menyewa hotel berkenaan bagi menempatkan pekerja mereka.
“Sebabnya kontrak dengan TLDM menggunakan pekerja luar, jadi mereka memerlukan penginapan.
“Dalam kes ini, mereka dipaksa untuk membuat bayaran dengan menyewa hotel milik pegawai terbabit,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia dalam satu program audio siar.
Rabu lalu, SPRM menahan reman seorang pegawai kanan TLDM kerana disyaki terbabit rasuah dengan mengesyorkan serta melantik syarikat kroni bagi mendapatkan kerja di tempat beliau bertugas.
Turut direman ketika itu seorang pengarah syarikat kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan berkenaan, dengan perintah reman tujuh hari hingga 29 Jan.
Menurut laporan, siasatan awal juga mendapati pegawai kanan TLDM itu disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen diterima, termasuk beberapa aset tak alih serta kemasukan kira-kira RM2 juta daripada sumber diragui ke akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan miliknya.
Turut ditahan reman lima individu bagi membantu siasatan terhadap beberapa syarikat yang dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan urusan pelantikan syarikat kroni pegawai kanan berkenaan.
Semua individu yang direman terdiri pengarah syarikat, pengurus serta pemilik syarikat dipercayai mempunyai hubung kait dengan syarikat kroni pegawai kanan berkenaan.