98% pekerja penghantaran berusia 30 tahun ke bawah, kata Jabatan Perangkaan

98% pekerja penghantaran berusia 30 tahun ke bawah, kata Jabatan Perangkaan

Dapatan itu hasil kajian antara Mac dan Dis 2022 melibatkan 6,657 responden bekerja sebagai pekerja p-panggilan.

Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 40% daripada pekerja penghantaran tamat sekolah menengah.
PETALING JAYA:
Kajian mendapati 98% penghantar makanan adalah belia berusia 30 tahun ke bawah, dengan hampir separuh daripadanya berpendidikan hingga sekolah menengah.

Jabatan Perangkaan menjalankan kajian antara Mac dan Dis 2022 untuk mengenal pasti isu dihadapi pekerja gig dalam perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan. Ia membabitkan 6,657 responden yang bekerja sebagai pekerja p-panggilan.

“Hasil kajian mendapati 97.71% daripada pekerja p-panggilan adalah belia antara 15 hingga 30 tahun.

“Kira-kira 40% daripada mereka tamat sekolah menengah dan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SPMV) atau setaraf,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, 74% daripada pekerja p-panggilan menganggap pekerjaan mereka sebagai sumber pendapatan.

“Kira-kira 27% pekerja p-panggilan memperoleh pendapatan antara RM1,501 dan RM2,499. Hanya 12% memperoleh antara RM2,500 dan RM3,170,” katanya.

Dari segi perlindungan sosial, hanya 72% responden mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala 22% mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia juga mendapati lebih 60% pekerja penghantaran tidak mempunyai sebarang simpanan manakala kira-kira 55% tidak mempunyai polisi insurans kemalangan diri atau nyawa.

Walaupun terdapat kekurangan dari segi gaji dan jaringan keselamatan sosial, p-panggilan kekal menarik kerana ramai pekerja mampu menguruskan perbelanjaan harian mereka, selain masa kerja fleksibel dan tidak terikat peraturan atau kontrak pekerjaan.

Bagi memastikan kebajikan pekerja dilindungi, Jabatan Perangkaan menyediakan lima cadangan iaitu:

  • melindungi kebajikan mereka bawah undang-undang buruh atau perundangan yang berkaitan,
  • menyediakan jalan kepada pekerja dan syarikat untuk menguruskan konflik,
  • menambah baik perlindungan sosial,
  • menyediakan dan meningkatkan latihan kemahiran, dan
  • membina pangkalan data untuk pendaftaran pekerja p-panggilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.