Cabar penggantungan Parlimen: Rayuan Anwar 14 April

Cabar penggantungan Parlimen: Rayuan Anwar 14 April

Perdana menteri dan empat yang lain memohon pengisytiharan darurat oleh Agong atas nasihat Muhyiddin Yassin pada 2021 melanggar perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat pada 2021 atas nasihat Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 14 April untuk tiga rayuan oleh lima wakil rakyat termasuk Anwar Ibrahim, mencabar keputusan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin menasihatkan Yang di-Pertuan Agong menggantung parlimen ketika darurat pada 2021.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin berkata tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Suhaila Haron hari ini.

“Prosiding rayuan akan dilakukan secara dalam talian,” katanya kepada FMT.

Peguam Simranjit Kaur hadir bagi pihak Anwar, manakala peguam Hiqmar Danial Hidzir mewakili Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub, bekas Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

Anwar yang ketika itu Ahli Parlimen Port Dickson dan ketua pembangkang, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 26 Januari 2021, dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden. Johari kini Speaker Dewan Rakyat, manakala Salahuddin adalah menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Mereka gagal dalam usaha itu dua tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru memutuskan pengisytiharan darurat oleh Agong dan ordinan berkaitan tidak boleh dipertikai melalui semakan kehakiman.

Mahkamah Rayuan pada 24 November 2021 kemudian menolak rayuan mereka.

Pada 25 Mei tahun lalu, kesemuanya yang ketika itu pembangkang mendapat izin daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu perkara itu.

Anwar memohon deklarasi bahawa keputusan Jemaah Menteri diketuai Muhyiddin menasihatkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang membawa kepada penggantungan Parlimen, bercanggah dengan perlembagaan, menyalahi undang-undang, tidak memberi kesan dan bersifat ultra vires.

Anwar memfailkan lapan persoalan undang-undang bagi mendapatkan kebenaran daripada mahkamah agar merit aduan – bahawa darurat itu tidak perlu dan Jemaah Menteri memberi nasihat yang salah kepada Agong – didengar.

Pemohon lain, yang turut mencabar keperlembagaan pengisytiharan darurat serta penggantungan Parlimen dan DUN, mengemukakan dua persoalan undang-undang yang lazim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.