
Anwar berkata, pelancongan antara sektor teras yang memerlukan penyertaan semua pihak, termasuk dalam membina tarikan baharu serta memperkukuh imej negara.
“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita, pelancongan yang merupakan satu daripada intinya, yang memerlukan penyertaan semua.
“Sikap kita, senyuman kita, kerja kita, kesediaan kita mengolah cara-cara tarikan baharu,” katanya ketika berucap dalam program Cerita Malaysia Kita sempena TMM 2026 di Surf Beach, Sunway Lagoon.
Perdana menteri berkata, potensi negara adalah besar dengan sambutan serta petunjuk pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ketika ini, namun keadaan itu turut disertai cabaran perlu ditangani bersama.
“Negara boleh maju dan terserlah sebagai negara hebat, tetapi negara juga boleh mendatar atau merosot.
“Rakyat telah memilih untuk mencapai kemajuan yang membanggakan dan berjaya,” katanya.
Katanya, kejayaan hanya dapat dicapai melalui semangat berpasukan dan sokongan antara satu sama lain, selain mengurangkan perbalahan serta sentimen kebencian berasaskan kaum dan agama.
Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan dua inisiatif utama iaitu koleksi khas Sunway Tiny Toys yang mengetengahkan ikon harian Malaysia sebagai cenderamata berinspirasikan warisan, serta ‘Malaysia Attraction Passport’ (MAP) iaitu program yang menggalakkan penerokaan domestik melalui pengalaman interaktif merentasi empat tarikan utama mesra keluarga.
Sempena TMM 2026, kerajaan menyasarkan menarik 47 juta pelawat antarabangsa dan RM329 bilion dalam terimaan pelancongan.