16 Mac keputusan Petronas mohon jelas kerangka kawal selia di Sarawak

16 Mac keputusan Petronas mohon jelas kerangka kawal selia di Sarawak

Petronas kata permohonan itu untuk mahkamah buat penentuan muktamad kedudukan undang-undang sektor petroleum di Sarawak.

oil rig
Petronas dan syarikat minyak dan gas Sarawak, Petros, serta pihak berkuasa persekutuan dan negeri, terlibat dalam pertikaian mengenai eksploitasi sumber petroleum di negeri itu. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac untuk keputusan permohonan Petronas bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Mahkamah menetapkan tarikh itu semasa prosiding dalam talian hari ini dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak, yang dinamakan sebagai responden, masing-masing diwakili oleh Jabatan Peguam Negara.

Petronas sebelum ini memohon agar kes itu dipercepatkan, lapor Borneo Post.

Syarikat itu sebelum ini berkata tindakan undang-undang itu difailkan bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad mengenai kedudukan undang-undang yang terpakai kepada sektor petroleum di Sarawak.

Petronas dan syarikat minyak dan gas Sarawak, Petros, serta pihak berkuasa persekutuan dan negeri, terlibat dalam pertikaian mengenai eksploitasi sumber petroleum di negeri itu.

26 Feb keputusan kes jaminan bank

Dalam perkembangan berasingan, Mahkamah Tinggi Kuching dilaporkan menangguhkan keputusannya dalam saman yang difailkan Petros berhubung jaminan bank bernilai RM7.95 juta berkaitan bekalan gas.

Keputusan kes itu dijangka diumumkan hari ini, namun ditangguhkan ke 26 Feb. Saman tersebut bertujuan mendapatkan semula jumlah yang diterima Petronas di bawah jaminan bank yang diberikan oleh Petros.

Mahkamah Tinggi itu turut menjadualkan semula keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh lima anak syarikat Petronas terhadap kementerian utiliti Sarawak dan pengarah negeri pengagihan gas.

Lima syarikat berkenaan — Malaysia LNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd, Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd, Petronas Carigali Sdn Bhd dan Petronas LNG 9 Sdn Bhd — mahu mencabar penalti berjumlah RM120 juta yang dikenakan ke atas mereka.

Mahkamah menetapkan 6 Feb untuk menyampaikan keputusannya, yang sebelum ini dijangka pada 3 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.