Rafizi sedia minta kes serangan anak ditutup jika tiada perkembangan

Rafizi sedia minta kes serangan anak ditutup jika tiada perkembangan

Ahli Parlimen Pandan itu masih memberi ruang kepada siasatan polis yang bermula sejak Ogos tahun lalu.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli berkata beliau enggan membuang masa anggota polis yang hanya mengikut arahan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk meminta siasatan kes serangan ke atas anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif.

Bekas timbalan Presiden PKR itu berkata setakat ini beliau masih mempercayai proses siasatan sedang berjalan namun ia telah melalui tempoh panjang sejak Ogos tahun lalu

“Saya tunggu lagi. Kalau rasa siasatan tak ke mana, saya sendiri akan tulis surat kepada PM, menteri dalam negeri dan PDRM supaya siasatan dihentikan dan kes ini diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

“Jangan buang masa anggota polis di bawah yang hanya ikut arahan,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X.

Rafizi turut menegaskan sejak kejadian itu, beliau tidak pernah menerima sebarang maklum balas, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sebaliknya hanya mengetahui perkembangan kes melalui laporan media sehingga pertemuannya bersama Saifuddin pada awal Disember tahun lalu.

“Minggu ini beliau jawab (di Parlimen) dan seperti saya dah agak, beliau kena bagi jawapan pentadbiranlah, iaitu tak boleh dedah takut ganggu siasatan. Saya pun tak ambil hati. Sebab anak kita yang kena, takkan orang lain faham perasaan kita.

“Malah saya berterima kasih kerana jawapan menteri dalam negeri itu mengesahkan dua perkara. Pertama, perjumpaan dengan saya pada 1 Disember itu benar-benar berlaku.

“Kedua, bahawa memang beliau berkongsi maklumat mengenai perkembangan dan sudut siasatan kes itu dalam pertemuan dengan saya pada 1 Dis 2025. Cuma dia tak boleh kongsi secara terbuka saja,” katanya.

Saifuddin, menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu lalu, memaklumkan bahawa beliau tidak boleh mengesahkan secara terbuka maklumat tertentu mengenai siasatan terhadap dalang di sebalik serangan ke atas anak Rafizi.

Menurutnya, ia boleh menjejaskan keupayaan pihak berkuasa menjejaki suspek serta membahayakan keselamatan saksi utama.

Anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira jam 2 petang pada 13 Ogos lalu, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki mengekori kereta isterinya menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.